CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, January 5, 2016

UMRAH, MENCARI MAKNA MENYINGKAP FITRAH - Bhg 1

Bahagian 1: Andai Kau Pergi
(English version will be posted later)

“Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada tuhanmu” (Al Hajj:1)

“Dan berjihadlah kepada Allah dengan sebenar-benar jihad. Dia telah memilih kamu dan tidak menjadikan untuk kamu kesusahan dalam ad-Din. Millah bapa kamu Ibrahim”. (Al Hajj:78)

Ayat pertama surah al-Hajj menyentak sanubari, manakala ayat terakhir dalam surah al-Hajj  akan terngiang-ngiang dalam benak sesiapa yang membaca surah tersebut, seakan-akan Allah mahu memberikan ‘parting words’ (kata-kata perpisahan) tentang makna mengerjakan haji dan adik kecilnya umrah, Seolah-olah mengatakan ‘Kerjakanlah Haji/umrah dan ikutilah contoh Nabi Ibrahim. Kamu akan terbentuk menjadi orang yang bertaqwa dan berjuang’.

Tahun lepas saya memberitahu saudara/saudari pembaca bahawa saya menulis dalam nota peribadi nama 3 tempat yang ingin saya lawati: Turki, Indonesia & Mesir. Dua yang pertama sudah dilawati pada 2014 & 2015. Saya berazam juga untuk membuat umrah & haji, cuma tidak tahu bila. Alhamdulillah penghujung tahun 2015 saya dikurniakan rezeki melawat Haramayn ash-Sharifayn. Ketiga-tiga lawatan ini atas ajakan keluarga dan sahabat, dan semasa menerima ajakan keluarga untuk mengerjakan umrah sebenarnya  saya tidak punya simpanan yang mencukupi dan tidak tahu apakah rezeki yang akan saya peroleh. Maha Suci Allah sebaik-baik perancang.

Catatan ini sekadar penceritaan semula pemerhatian-pemerhatian, lintasan-lintasan hati dan buah fikiran yang diilhamkan kepada saya sepanjang perjalanan mengerjakan umrah. Ia bukan ‘revealed truth’ (kebenaran yang diwahyukan), hanya pendapat dan perasaan seorang insan. Jika apa yang ditulis ini bertepatan dengan teks & ruh al Quran dan as-Sunnah, maka ambillah kebaikannya dan jika tidak, maka sewajarnya ia diletak jauh-jauh.

Dalam pendahuluan ini saya tidak menyentuh lagi ibadah umrah secara khusus. Saya mulakan dengan persiapan sebelum umrah tersebut, persiapan spiritual, mental dan fizikal.

  Setelah ditadabbur ayat-ayat berkenaan haji, terutama ayat pembuka dan penutup surah al-Hajj, saya sampai kepada kesedaran bahawa ibadah ini satu ibadah yang istimewa. Ia menuntut jihad yang besar dan persediaan yang rapi. Saya senaraikan antara persediaan-persediaannya di bawah. Ini  bukanlah wajib, kerana syarat sah ibadah cukup dengan menyempurnakan rukun-rukunnya, tapi eloklah kita bersedia dengan mantap supaya boleh mengambil manfaat terbanyak daripada haji & umrah.

- Persediaan harta: Ini semua sudah maklum, berangkat ke Makkah dan Madinah menelan belanja yang tidak sedikit.
- Persediaan jiwa: Meningkatkan kualiti ibadah kita dengan Allah SWT, supaya di sana kita tidak ‘pancit’ kerana tiba-tiba ‘pulun ibadah’.
- Persediaan ilmu: Mengkaji semula kisah Nabi Ibrahim & Nabi Muhammad SAW, kerana di sana kita mengikut semula jejak mereka, merasai dengan dekat perjuangan dan susah-payah mereka menyebarkan risalah kebenaran.
- Persediaan bahasa: Ini adalah peluang terbaik berkenal-kenalan dengan umat Islam seluruh dunia. Alangkah baiknya kita mengetahui bahasa Arab walaupun pada tahap asas.
- Persediaan fizikal: Ibadah haji & umrah ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal, wajarlah kita pastikan bahawa jasmani berada pada tahap yang ‘fit’.

Nah, sebelum berangkat lagi jihad yang besar dituntut daripada kita. Dan disebabkan keunikan dan luarbiasanya kesan daripada ibadah ini, saya berpendapat bahawa waktu terbaik untuk melaksanakannya ialah ketika kita muda. Semasa itu kita masih kuat, minda masih segar dan secara kebiasaannya masih banyak baki umur untuk melaksanakan dalam hidup seharian pengajaran-pengajaran yang diperoleh semasa di sana.

“Ya, semasa muda kita masih kuat, tapi masalahnya kita tiada wang dan tiada masa”.

Itu alasan. Sebab utama kita tidak dapat mengerjakan  haji & umrah semasa muda ialah kerana kita tidak merancang untuk mengerjakan haji dan umrah semasa muda. Kita berangkat dalam keadaan wang yang cukup-cukup makan, kita berangkat semasa pekerjaan, perniagaan & keluarga menuntut masa yang banyak. Bukankah itu jihad besar yang kita laung-laungkan di lidah? Bukankah jihad yang besar itu membuahkan hasil yang manis? Kenapa kita tidak bersedia sehabis baik untuk mengerjakannya?

Kita kata kita tidak mampu  menyimpan wang untuk ke tanah haram, tapi kita mampu menyimpan untuk membeli perkakas dan bahan melaram.

Kita kata kita belum mampu untuk berjumpa rumah Allah, tapi kita mampu meletakkan wang muka yang besar untuk membeli rumah mewah.

Bertaqwalah dan berjuanglah, jangan biarkan kecintaan kepada dunia bersarang dalam hati. Bukankah Allah pemilik khazanah langit dan bumi?

Semakin lama saya renung, semakin bertambah keyakinan saya bahawa Islam adalah satu sistem kehidupan yang cantik. Dengan menegakkan rukun-rukun Islam dengan sempurna sahaja sudah cukup untuk mengubah hidup seseorang.

Syahadah mengatur setiap detik hidup.
Solat mengatur  hidup hariannya.
Zakat mengatur hidup bulanannya.
Puasa mengatur hidup tahunannya.
Haji mengatur 'lifetime' (seumur hidup) nya. (kerana ia satu ibadah yang memerlukan perancangan hidup. Orang selalu membicarakan financial planning dan financial freedom. Kenapa tidak dibicarakan ibadah planning dan spiritual freedom?)

Maka jadilah hidup seseorang itu diatur oleh dan berpaksikan ubudiyah (penghambaan kepada Tuhan). Ini satu kehidupan yang damai dan sempurna, yang hanya dirasai oleh mereka yang menyerahkan diri kepada Tuhan mereka.

- Tamat Bahagian 1-



1 comments:

M A R I A H said...

Salam akhi,

Jika berkelapangan , mohon di share pengalaman di sana .
Ma sha Allah, akhi beritahu mengenai persiapan ilmu sebelum ke tanah suci dengan mendalami kisah nabi Ibrahim alaihissalam dan nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam..definitely benefiting all believers to 'really engage' in performing their hajj and umrah.

Jazakallahu khair..